Pemeliharaan ikan hiasan mungkin dianggap sekadar hobi kepada peminat yang biasanya menempatkan ikan emas, kelisa dan ‘flower horn’ di dalam akuarium dihias cantik di sudut kediaman masing-masing.
Ikan hiasan laga atau dikenali sebagai betta fish turut mempunyai peminat tersendiri, tidak kira golongan tua atau generasi muda.
Menyedari potensi ikan laga, seorang anak muda Muhammad Akram Zulkifli, 24, menjadikan ikan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingannya.
Bertugas sebagai pengurus di sebuah hotel di Pulau Pinang tidak menghalang Muhammad Akram menceburi hobi diminatinya sejak menuntut peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah pada 2012 dalam jurusan Sains Komputer.
“Saya memulakan usaha memelihara 100 ekor induk ikan laga di sebuah bilik tandas tidak digunakan berbekalkan modal RM400. Saya menjual kepada peminat ikan laga secara dalam talian dengan RM3 seekor dan mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Selepas menamatkan pengajian di UiTM, saya meneruskan usaha memelihara ikan laga di bengkel di depan rumah dan berjaya menghasilkan ternakan lebih 3,000 ekor ikan laga.
“Bengkel kereta di depan rumah diubah suai berjaya menarik kunjungan orang ramai bukan saja pelanggan tempatan, tapi luar negara termasuk dari Singapura, Thailand dan Filipina,” katanya ketika ditemui di Kampung Baroh, Sungai Tiram, Bayan Lepas, baru-baru ini.
Usaha Muhammad Akram turut berbaloi apabila muncul juara beberapa pertandingan peringkat antarabangsa di Itali dan negara Eropah lain pada 2012, sekali gus menerima trofi serta wang tunai.
Katanya, pertandingan seumpama itu jelas membuktikan pengiktirafan Malaysia khususnya Pulau Pinang mempunyai ramai pengusaha ikan laga yang berpotensi untuk diketengahkan.
“Saya meraih banyak gelaran juara peringkat kebangsaan di Pulau Pinang, Johor selain Asia Tenggara merangkumi Indonesia, Thailand dan Singapura pada 2014.
“Jenis ikan laga dijual termasuk laga tempatan (Betta bellica) dan laga Siam (Betta splendens) yang dibezakan menerusi bentuk ekornya iaitu laga tempatan ekornya pendek sementara laga Siam berekor panjang terurai,” katanya.
Menurutnya, berikutan permintaan tinggi terhadap ikan laga, dia banyak melakukan proses kacukan spesies ikan terbabit bagi mendapatkan baka lebih menarik dan ia mampu dijual dengan harga lebih mahal.
Anak ketiga daripada lapan adik beradik itu berkata, penjagaan ikan laga agak rumit dan cerewet terutama dari segi penjagaan air dan makanan yang menjadi dua aspek penting dalam memastikan peratus hidup anak ikan laga tinggi.
“Air perlu digantikan dua hari sekali sementara makanan pula perlu diberikan sebanyak dua kali sehari selain memastikan kandungan air tidak terlalu banyak.
“Ikan laga jantan lebih menarik dan lebih besar daripada betina serta kebiasaannya proses mengawan akan berlaku sebaik ikan laga mencapai umur kira-kira tiga bulan.
“Bagi tujuan mengawan, ikan laga jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas sama selama kira-kira dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan laga betina menjauhkan diri daripada ikan laga jantan,” katanya.
Muhammad Akram berkata, selepas proses mengawan, ikan laga betina diasingkan dan ikan laga jantan akan dibiarkan menjaga telur ikan berkenaan di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudian.
Beliau berkata, sebaik menetas anak ikan yang berjumlah ratusan ekor akan diasingkan bagi mengelak dimakan ikan jantan dewasa dan diletakkan di dalam bekas lebih besar.
“Kategori ikan laga popular di negara ini termasuk half moon, half moon plakat, crown tail, doubletail plakat, double half moon dan giant, manakala corak pada ekornya pula seperti rama-rama, salamander, bi-coby, dragon, marble dan koi.
“Alhamdulillah, ternakan ikan laga ini mampu memberi pulangan lumayan hingga melebihi empat angka setiap bulan berikutan minat dalam kalangan orang ramai semakin berkembang.
“Ternakan ikan laga memang memberi pulangan lumayan kerana walaupun bersaiz kecil, harga seekor ikan boleh mencecah antara RM30 hingga RM1,000 jika jenis ikan terbabit sukar ditemui,” katanya.
No comments:
Post a Comment