Sunday, 30 December 2018

Hasil lebih 3,000 ikan laga



Pemeliharaan ikan hiasan mungkin dianggap sekadar hobi kepada peminat yang biasanya menempatkan ikan emas, kelisa dan ‘flower horn’ di dalam akuarium dihias cantik di sudut kediaman masing-masing.

Ikan hiasan laga atau dikenali sebagai betta fish turut mempunyai peminat tersendiri, tidak kira golongan tua atau generasi muda.

Menyedari potensi ikan laga, seorang anak muda Muhammad Akram Zulkifli, 24, menjadikan ikan berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingannya.
Bertugas sebagai pengurus di sebuah hotel di Pulau Pinang tidak menghalang Muhammad Akram menceburi hobi diminatinya sejak menuntut peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah pada 2012 dalam jurusan Sains Komputer.

“Saya memulakan usaha memelihara 100 ekor induk ikan laga di sebuah bilik tandas tidak digunakan berbekalkan modal RM400. Saya menjual kepada peminat ikan laga secara dalam talian dengan RM3 seekor dan mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Selepas menamatkan pengajian di UiTM, saya meneruskan usaha memelihara ikan laga di bengkel di depan rumah dan berjaya menghasilkan ternakan lebih 3,000 ekor ikan laga.

“Bengkel kereta di depan rumah diubah suai berjaya menarik kunjungan orang ramai bukan saja pelanggan tempatan, tapi luar negara termasuk dari Singapura, Thailand dan Filipina,” katanya ketika ditemui di Kampung Baroh, Sungai Tiram, Bayan Lepas, baru-baru ini.

Usaha Muhammad Akram turut berbaloi apabila muncul juara beberapa pertandingan peringkat antarabangsa di Itali dan negara Eropah lain pada 2012, sekali gus menerima trofi serta wang tunai.

Katanya, pertandingan seumpama itu jelas membuktikan pengiktirafan Malaysia khususnya Pulau Pinang mempunyai ramai pengusaha ikan laga yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Saya meraih banyak gelaran juara peringkat kebangsaan di Pulau Pinang, Johor selain Asia Tenggara merangkumi Indonesia, Thailand dan Singapura pada 2014.

“Jenis ikan laga dijual termasuk laga tempatan (Betta bellica) dan laga Siam (Betta splendens) yang dibezakan menerusi bentuk ekornya iaitu laga tempatan ekornya pendek sementara laga Siam berekor panjang terurai,” katanya.

Menurutnya, berikutan permintaan tinggi terhadap ikan laga, dia banyak melakukan proses kacukan spesies ikan terbabit bagi mendapatkan baka lebih menarik dan ia mampu dijual dengan harga lebih mahal.

Anak ketiga daripada lapan adik beradik itu berkata, penjagaan ikan laga agak rumit dan cerewet terutama dari segi penjagaan air dan makanan yang menjadi dua aspek penting dalam memastikan peratus hidup anak ikan laga tinggi.

“Air perlu digantikan dua hari sekali sementara makanan pula perlu diberikan sebanyak dua kali sehari selain memastikan kandungan air tidak terlalu banyak.

“Ikan laga jantan lebih menarik dan lebih besar daripada betina serta kebiasaannya proses mengawan akan berlaku sebaik ikan laga mencapai umur kira-kira tiga bulan.

“Bagi tujuan mengawan, ikan laga jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas sama selama kira-kira dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan laga betina menjauhkan diri daripada ikan laga jantan,” katanya.

Muhammad Akram berkata, selepas proses mengawan, ikan laga betina diasingkan dan ikan laga jantan akan dibiarkan menjaga telur ikan berkenaan di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudian.

Beliau berkata, sebaik menetas anak ikan yang berjumlah ratusan ekor akan diasingkan bagi mengelak dimakan ikan jantan dewasa dan diletakkan di dalam bekas lebih besar.

“Kategori ikan laga popular di negara ini termasuk half moon, half moon plakat, crown tail, doubletail plakat, double half moon dan giant, manakala corak pada ekornya pula seperti rama-rama, salamander, bi-coby, dragon, marble dan koi.

“Alhamdulillah, ternakan ikan laga ini mampu memberi pulangan lumayan hingga melebihi empat angka setiap bulan berikutan minat dalam kalangan orang ramai semakin berkembang.

“Ternakan ikan laga memang memberi pulangan lumayan kerana walaupun bersaiz kecil, harga seekor ikan boleh mencecah antara RM30 hingga RM1,000 jika jenis ikan terbabit sukar ditemui,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 11:09 AM
sumber: Harian Metro

Maklumat Ikan Pelaga


Ikan pelaga merupakan sejenis ikan air tawar yang dipelihara di dalam akuarium. Ia berasal dari lembangan Sungai Mekong di Asia Tenggara.

Antara jenis ikan pelaga ialah Betta splendens (ikan pelaga siam), Betta imbellis (ikan mengkaring) dan Trichopsis vittata (ikan sempilai). Selain itu ikan pelaga juga dikenali dengan nama ikan laga.

Penjagaan ikan pelaga

Air yang sesuai untuk ikan pelaga adalah air yang bebas klorin. Jika menggunakan air paip biarkan air tersebut selama 3-5 hari sebelum digunakan untuk ikan pelaga. Terdapat juga ubat anti-klorin yang boleh didapati dimana-mana kedai ikan peliharaan. 

Air yang sudah dirawat juga alternatif yang baik untuk ikan pelaga. Air mempunyai pengaruh besar kerana air yang kotor atau berklorin boleh mendatangkan banyak penyakit kepada ikan pelaga. Ini kerana air-air ini mengandungi bakteria yang tidak sihat untuk ikan pelaga. 

Jika bekas akuarium atau balang ikan pelaga tiada penutup pastikan air tidak terlalu penuh. Ini kerana ikan pelaga sangat aktif dan boleh melompat keluar dari akuarium.

Makanan

Makanan berbentuk pellet sesuai untuk ikan pelaga. Hal ini disebabkan ikan pelaga hanya makan makanan yang muat dengan mulut mereka. Kadang-kadang ikan laga juga cerewet dalam pemakanan. 

Makanan ikan lain seperti makanan ikan emas dan koi tidak sesuai untuk ikan pelaga. Ikan pelaga boleh diberi makan jejentik nyamuk.

Pembersihan akuarium atau bekas ikan pelaga

Pembersihan akuarium untuk ikan pelaga dilakukan sekurang-sekurangnya sekali seminggu. Tempatkan ikan laga dalam air lama ketika membersihkan bekas. 

Bersihkan bekas ikan pelaga dengan air panas atau suam kerana sabun boleh menjejaskan kesihatan ikan pelaga. 

Penambahan ubat anti-klorin diperlukan jika menggunakan air paip. Air yang telah ditukar haruslah sama suhunya dengan air lama. Ini adalah untuk mengelakkan perubahan suhu mengejut yang boleh membawa maut pada ikan pelaga.

Inilah koleksi betta frenzy

Alhamdulillah...

Inilah koleksi 4 ekor betta saya yang baru menjadi ahli keluarga ini. Harapnya 4 ekor ini akan menjadi asas kepada projek membiakkan betta dan insyaallah akan dikembangkan menjadi projek komersil.


Ini saya namakan baggio

Namanya Bebeto

Inilah Kaka

Sayalah Leonardo

Pada masa ni, saya sedang menunggu kedatangan betta betina untuk dikenalkan kepada empat ekor jantan hensem nih. Tak sabar untuk mulakan!






jenis-jenis ikan laga (wild betta)

15 jenis Ikan Laga Betta popular

Saturday, 29 December 2018

Penternak diminta hasil ikan pelaga berkualiti tinggi

Penternak diminta hasil ikan pelaga berkualiti tinggi

KUALA KANGSAR: Jabatan Perikanan Perak meminta penternak dan pengusaha ikan pelaga spesies Betta supaya menghasilkan varieti bermutu tinggi memandangkan ia mempunyai permintaan memberangsangkan termasuk di peringkat antarabangsa.

Pengarahnya Zaki Mokri berkata ikan tersebut merupakan antara ikan hiasan yang mendapat permintaan tinggi khususnya dari negara seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Taiwan.

"Kami sedia membantu dengan mengadakan latihan kepada penternak terbabit untuk menghasilkan ikan Betta yang berkualiti," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutup program 4th Perak Betta Splendens Open 2018 di Pusat Ikan Hiasan Enggor, dekat sini hari ini.


Zaki berkata pada 2016, negara mengeksport 50 juta ekor ikan hiasan bernilai RM57 juta, membuktikan produk Malaysia mempunyai standard yang tinggi selepas Thailand dan Indonesia.

"Kita juga memenangi banyak pertandingan dan ini membuktikan kualiti ikan hiasan termasuk ikan Betta kita baik," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Zaki berkata penternakan ikan Betta berpotensi berkembang kerana tidak banyak negara di dunia yang mempunyai keupayaan menjadi pembekal ikan tersebut.

Mengulas mengenai pertandingan hari ini, beliau berkata ia berupaya mencipta peluang baharu dalam industri seperti pelancongan dengan menarik peserta dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 544 ekor ikan hiasan menyertai pertandingan kali ini berbanding 350 ekor pada tahun lalu.

-- BERNAMA

Hobi yang berpotensi untuk buat duit

Assalam.

Blog Betta Frenzy ini didedikasikan khas untuk saya berkongsi hobi memelihara dan membiakkan ikan laga atau yang lebih komersil betta.

Memang dah lama sebenarnya rancang untuk mulakan tapi hari ni je tergerak hati untuk mulakan.

Sebagai permulaan, saya dah beli 4 ekor betta jantan dan sedang menunggu seekor betta betina yang dalam perjalanan.

Semoga usaha ini beroleh kejayaan. Aamiin.